Thursday, August 18, 2011

Ramadhan yang pergi takkan kembali




Sebelum kaki melangkah pulang ke kampung halaman, ingin saya membawa anda semua bersama2 saya menghayati dan memuhasabah diri dalam bulan Ramadhan lagi berkat ini.

Assalamualaikum!!!!
Alamak nak kena buat karangan panjang2 kew??? Sampai 2@5 muka surat SPM dulu boleh la. Mak selalu pesan belajar rajin2, terutamanya subjek Bahasa Melayu. Erm, Ni sebenarnya nak cerita pasal esemen Praktikal Ibadat yang bertimbun2. Bukannya siap lagi pown.

Khutbah??? Khutbah Jumaat @ Raya pernah la dengar dekat TV. Tapi format khutbah tu satu apa pown tak tahu. Xpa usaha2 itu tangga kejayaan!!!!

kat sini saya nak bagi contoh khutbah yang saya cari,



MENGHARGAI NYAWA

Sidang Jumaat yang di Rahmati Allah,
Saya berpesan kepada diri saya dan menyeru kepada sidang Jumaat yang dikasihi sekalian, marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa serta melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita berbahagia di dunia dan di akhirat.Mimbar pada hari ini akan membincangkan khutbah bertajuk: “MENGHARGAI NYAWA”.

Sidang Jumaat yang di Rahmati Allah,
Nyawa adalah tanda hidupnya manusia. Selagi seseorang itu masih bernyawa maka selagi itulah ia berpeluang meneruskan kehidupan di dunia ini. Tetapi apabila nyawa telah tiada lagi maka berakhirlah episod kehidupan manusia. Memberi nyawa dan mencabut nyawa adalah hak mutlak Allah SWT yang tiada sesiapapun boleh mempertikaikannya. Lantaran itu Allah SWT boleh memendekkan umur seseorang dengan kehendak dan kuasanya dan dengan kehendak dan kuasanya jugalah ia boleh memanjangkan umur seseorang. Firman Allah SWT dalam surah al- Nahl ayat 70:

Maksudnya: Dan Allah yang menciptakan kamu; kemudian Ia mewafatkan kamu; dan ada pula di antara kamu yang dikembalikannya kepada peringkat umur yang lemah sehingga menjadilah ia lupa akan sesuatu yang telah diketahuinya; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa.

Kita hendaklah bersyukur kepada Allah SWT kerana menghidupkan kita melalui nyawa yang diberikannya dan dengan nyawa itulah kita dapat menikmati indahnya kehidupan,menikmati keindahan alam, merasai sedapnya makanan dan menggunakan segala nikmat kurniaan Allah SWT kepada kita. Apabila nyawa telah terpisah daripada badan semua itu tidak berguna lagi. Oleh yang demikian, kita wajib menghargai nyawa sendiri atau nyawa orang lain. Menghargai nyawa bermaksud memelihara dan menjaganya dengan sebaik mungkin dengan mengelakkan diri daripada terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan perbuatan atau tindakan yang boleh menghilangkan nyawa atau dengan kata lain menyebabkan kematian.

Sidang Jumaat yang di Rahmati Allah,
Berdasarkan laporan dan pemerhatian mimbar pada ketika ini bahawa  isu kemalangan jalan raya adalah penyebab yang terbesar kepada kematian. Menurut laporan Jabatan keselamatan Jalanraya bahawa lebih daripada 6 ribu orang mati akibat kemalangan jalan raya dengan purata 18 kematian sehari atau 1 kematian setiap 1 jam 20 minit. Kajian oleh Kementerian Kesihatan, kemalangan jalan raya adalah punca keempat kematian di negara kita dan sekiranya ianya tidak dibendung, kemalangan jalan raya boleh menjadi punca utama kematian menjelang tahun 2020. Pada tahun 2010, sebanyak 6,872 kematian akibat kemalangan jalanraya, yang mana 4,036 kematian melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal.   Kajian yang dibuat oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia atau MIROS, bahawa 30% daripada kematian yang melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal ialah golongan berumur 16 ke 25 tahun berbangsa Melayu, dan daripada jumlah tersebut 40% daripadanya tidak mempunyai lesen memandu.
Mimbar ingin  menegaskan bahawa perbuatan-perbuatan yang menimbulkan mudharat dan merbahaya yang boleh membawa kepada kematian seperti  menunggang motosikal secara merbahaya, tidak mematuhi peraturan jalanraya, tidak memiliki lesen memandu adalah tindakan-tindakan yang tidak menghargai nyawa. Walaupun tindakan seperti itu tidak menyebabkan kehilangan nyawa secara langsung tetapi lama kelamaan atau silap percaturan boleh menyebabkan kematian atau sekurang-kurangnya memusnahkan keselesaan dan kesempurnaan hidup. Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 195:

Maksudnya Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan dan berbuat baiklah kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berusaha memperbaiki amalannya.
Jalanraya merupakan satu kemudahan awam yang menjadi penghubung kepada kita dari satu tempat ke satu tempat samada dari bandar ke desa atau sebaliknya. Ianya bukanlah tempat untuk kita menunjukkan kehebatan atau keberanian didalam kita memandu kenderaan, kerana itulah menjadi tanggungjawab kepada kita semua sebagai pengguna menjaga dan memelihara kemudahan ini dan menjadikannya sebagai satu tempat selamat dan bukannya tempat kecelakaan. Adalah tidak dapat dinafikan dan diakui bahawa punca utama kemalangan jalanraya di negara ini adalah disebabkan perilaku pengguna itu sendiri yang menyebabkan kerugian harta benda, kecederaan, kecacatan anggota badan, bahkan boleh membawa kepada kematian.
Sidang Jumaat yang di Rahmati Allah,
Satu perkara lagi yang menjadi antara punca utama kehilangan nyawa di negara kita pada masa kini ialah kebakaran. Menurut laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia pada tahun 2010 jumlah kebakaran mengikut jenis bangunan adalah sebanyak 5,240 kes yang berlaku. Mimbar ingin mengingatkan bahawa keselamatan kebakaran hendaklah diambil perhatian yang serius oleh kita semua kerana  kebakaran itu boleh membunuh. Api semasa kecil menjadi kawan, tetapi setelah besar ia menjadi lawan. Pelbagai cerita telah dipaparkan oleh media berkaitan kebakaran, apa yang menyedihkan apabila kebakaran bukan sahaja memusnahkan harta benda, tetapi juga menyebabkan kehilangan nyawa yang tidak boleh ditukar ganti. Apa yang menyedihkan lagi kehilangan orang yang tersayang, tempat tinggal dan kehilangan punca mata pencarian.
Mimbar ingin mengingatkan bahawa sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya, itulah ungkapan yang sewajarnya difikirkan bersama-sama bagi mengambil langkah keselamatan secara berterusan, pemeriksaan ke atas semua kelengkapan keselamatan kebakaran perlulah dijalankan dari semasa ke semasa bagi memastikan alat keselamatan sentiasa berada dalam keadaan baik dan boleh digunakan. Kesedaran masyarakat terhadap bahaya  kebakaran  dan  aspek  keselamatan perlu dipertingkatkan sama ada di rumah, di pejabat, di sekolah, di pusat membeli-belah, di hotel dan sebagainya.
Mengambil kesempatan bersempena Hari Anggota Bomba tahun 2011, marilah sama-sama kita menyatakan kesyukuran kita ke hadrat Allah SWT kerana telah melimpahkan rahmat dan kasih sayang-Nya, dengan menjaga keselamatan dan kesejahteraan kita. Sedarkah kita bahawa keselamatan dan kesejahteraan rakyat tidak dapat kita kecapi tanpa pengorbanan dan ketabahan setiap anggota-anggota penyelamat khasnya dari Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia. Pengorbanan yang mereka curahkan tanpa mengira masa, tempat dan keadaan tidak pernah mengharapkan penghargaan dan pujian dari kita, namun sebagai umat yang bersyukur, kita hendaklah menghargai mereka sebagai tanda terima kasih dan syukur kita kepada Allah SWT.
Mengakhiri khutbah pada minggu ini, mimbar menyeru kepada para jemaah dan umat Islam sekalian, marilah sama-sama kita menghargai nyawa yang diberikan oleh Allah SWT dengan mengelak diri dari melakukan perkara-perkara yang boleh mengancam keselamatan dan memudratkan kehidupan. Marilah sama-sama kita mendidik anak-anak kita agar mereka mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan. Janganlah kita membiarkan anak-anak kita memandu kenderaan tanpa lesen dan menunggang motosikal dengan bebas dan tanpa menggunakan topi keledar kerana itu semua mengundang kepada kecelakaan. Mimbar juga ingin mengingatkan bahawa  tanggungjawab menjaga keselamatan kebakaran dan menyelamat  adalah tanggungjawab bersama dan bukanlah tanggungjawab Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia semata-mata. Oleh itu marilah kita bersama-sama menjadikan budaya menjaga keselamatan kebakaran ini amalan hidup kita, InsyaAllah kejadian yang tidak diingini akan dijauhi oleh Allah SWT. Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-An’am, ayat 17:

Maksudnya: "Dan jika Allah menimpakan sesuatu kemudharatan kepada engkau, maka tidak ada sesiapa pun yang dapat menghapuskannya melainkan dia sendiri; dan jika dia melimpahkan sesuatu kebaikan kepada engkau, maka Dia adalah Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu".



http://www.islam.gov.my/                     .

1 comment:

  1. ini baru kehilangan nyawa dlm kemalangan,,tak kira pembunuhan lagi,,murahnya nyawa..

    ReplyDelete